6/07/2010

Love Story By Me.

Sekadar duduk dan berbual-bual. Seolah-olah, segala-galanya adalah istimewa pada hari itu. Kami bergilir-gilir mengambil tempat untuk bercerita dan ketawa. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Sungguh, tak sempat berlari ke mana-mana. Hanya kami berdua, terasa romantik la pula.

Cantik. Alor Gajah memang cantik waktu hujan. Lebih-lebih lagi bila dinikmati dengan si dia yang kamu sayang. Aku gunakan peluang ini untuk bercerita. Kisah sepasang kekasih dan secawan kopi panas. Kisah seorang gadis yang tidak berpuas hati, memiliki sang kekasih yang tidak tahu mengekspresikan rasa-rasa romantisme. Si gadis membuat rancangan, berpura-pura inginkan bunga api untuk dinikmati bersama-sama. Mengugut untuk berpisah sekiranya si jejaka tidak mampu memenuhi permintaannya. Tujuan si gadis hanyalah untuk menguji. Berharap, agar kekasihnya akan berubah.

Pada malam yang di janjikan, si jejaka bergegas datang. Tanpa bunga api, sekadar secangkir kopi. Si jejaka cuba memberitahu sesuatu, tetapi si gadis buat tak tahu. Di dalam hujan renyai, terpatrilah perpisahan.

Setelah sekian lama, si gadis bertemu jodoh dan menjadi seorang ibu. Malah mempunyai seorang anak yang mempunyai kedegilan sama seperti dirinya : mahukan bunga api pada sambutan hari jadi. Terpaksa lah si ibu mencari-cari. Meredah seluruh kota. Akhirnya, si ibu telah singgah di sebuah kedai lama. Memaniskan muka dan bertanya kepada tuan kedai di mana dia boleh mendapatkan bekalan bunga api kerana malam hampir menjengah pagi. "Di sini" Si ibu terkejut. Hairan bagaimana kedai sekecil itu bisa mempunyai bunga api yang anaknya hajatkan. Si ibu bertanya lagi, mahukan penjelasan.

10 tahun lalu, seorang lelaki dalam keadaan basah kuyup dan kelihatan lemah bertanyakan tentang bunga api. Apabila saya beritahu yang bunga api tiada, dia menangis teresak-esak, seolah-olah telah kehilangan seluruh kehidupannya. Sejak daripada itu, saya sentiasa menyediakan bunga api dan menunggukan kedatangannya tetapi, dia tidak pernah datang lagi. Si ibu mengetahui perkara sebenar.

Secawan kopi panas, adalah untuk melegakan kedinginan, setelah hujan yang lebat telah mula beransur pergi. Si jejaka berusaha mencari, namun si gadis tak mahu peduli. Si jejaka juga berharap si gadis akan hangat dengan keindahan bau kopi, si gadis masih tidak mahu ambil peduli. Sesungguhnya,kekasih si gadis berusaha keras untuk menjadi romantis. Tidakkah dia sedar? Sama ada si gadis tak sedar atau pura-pura tidak tahu, cinta mereka telah berlalu.

Si dia memandang muka aku sambil tersenyum. Bukankah sepatutnya cerita itu untuk sayang? Aku terpinga. Aku lupa, aku juga seperti si gadis. Ah tidak, aku tidak mahu kehilangan dia hanya kerana kekeliruan kehendak.

No comments: